Wednesday, August 12, 2009

Kelapangan hati..



ANDA MENCARI KELAPANGAN HATI? APAKAH SEBAB-SEBAB YANG MEMBAWA KEPADA KELAPANGAN HATI...??

Banyak sebab-sebab yang boleh membawa kita kepada lapangnya jiwa seterusnya lapangnya hati. Namun yang utama ialah at Tauhid...




Aqidah tauhid, keyakinan kita, bulatnya hati mempercayai Allah SWT. Insyallah apabila kita memahami hakikat ini, akan membawa kepada kelapangan hati apabila kita menunaikan tuntutan-tuntutannya.
Tauhid yang dimaksudkan ini ialah tauhid yang sebenarnya, bukan tauhid yang sekadar menjadi perbahasan dan berakhir di situ sahaja. Ia bukan tauhid yang berakhir dengan jadal kalami tetapi tauhid ialah keyakinan yang bulat kepada Allah SWT.
Apabila dikehendaki oleh Allah SWT supaya hati kita menjadi tenang lagi tenteram, Allah akan beri hidayah ; kefahaman yang betul tentang Islam.

Firman Allah Al Quran Surah Al An’aam: 125Maksudnya


“ Barang siapa yang Allah kehendaki akan memberikan kepadanya petunjuk nescaya Dia melapangkan dadanya untuk menerima Islam, dan barang siapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit seolah-olah ia sedang mendaki ke langit . Begitulah Allah menimpakan siksa kepada orang-orang yang tidak beriman”

Jelas sekali sekiranya Allah kehendaki seseorang itu menerima hidayah , maka Allah akan melapangkan dadanya , terasa mudah baginya.

Syarat untuk mendapat hidayah ialah ikhtiar, perlu ada usaha dan jihad. Insyaallah hidupnya akan terasa lapang, tenang, tenteram di dalam hidayah Allah SWT.Sebaliknya jika manusia itu sendiri enggan memnerima Islam, menolak hidayah Allah dia akan dilanda kegelisahan, kesusahan, sesak dadanya seolah-olah mendaki tempat tinggi tidak dapat bernafas sesak dadanya.




Hidayah dan keyakinan kepada Allah adalah sebesar-sebesar faktor yang membawa kepada ketenteraman jiwa.
Syirik atau pemujaan kepada yang lain selain Allah atau duduk dalam kesesatan adalah sebab-sebab yang membawa kepada kegelisahan jiwa manusia. Bertentangan tauhid, syirik, pemujaan selain Allah akan membawa kesempitan jiwa, tidak tenteram dan sebagainya kerana menolak hidayah. Inilah sunahtullah.Sebab utama itu diikuti dengan sebab-sebab lain:

i) An Nur cahaya yang diberikan Allah SWT yang dicampakkan oleh Allah kedalam hati orang-orang yang mukmin, nur yang dimaksudkan ialah nur iman.
Rasulullah bersabda:
“Apabila nur itu masuk kedalam hati seseorang , maka dia akan merasa lapang dan tenang jiwanya. Kemudian sahabat-sahabat bertanya : Apakah tanda-tandanya, ya Rasulullah? Rasulullah menjawab, Apabila terpaut hati kepada hari akhirat , dia tidak memberi nilai kepada dunia yang penuh dengan tipu daya ; dia membuat persediaan-persediaan untuk hari matinya, sebelum tiba masanya.”
Rasulullah menjelaskan apabila hati sudah terpaut kepada akhirat, maknanya segala –gala yang diusahakan di dunia ini diarahkan ke alam yang abadi iaitu alam akhirat. Segala tindakannya dinilai melalui kacamata akhirat. Dunia dilihat dari jendela akhirat. Fikirannya, pandangannya terus nampak hari kiamat laluan yang pasti ke alam yang kekal.
Walaupun jasadnya belum sampai ke sana tetapi hatinya sudah terikat sampai ke sana. Dia tidak terpesona dengan duniawi, dia tidak memakai nilai-nilai dunia sebaliknya nilai Allah sentiasa menjadi pilihannya walaupun dia duduk dalam dunia yang penuh dengan daya penarik.




Dia bersedia untuk mati. Hidupnya di dunia ini penuh strategi, perancangan yang rapi tersusun untuk mati dalam keredhaan Allah SWT . Dia bersedia untuk mati sebelum tiba waktunya. Orang yang telah masuk cahaya iman dalam hatinya menyusun semua kerja-kerjanya di dunia ini dalam rangka untuk kembali kepada Allah SWT dalam keadaan Allah redha dan dia redha dengan ketentuan Allah SWT.

Orang yang ada nur yang dianugerahkan oleh Allah SWT , nampak dalam tingkah lakunya, dalam penghayatannya hakikat orang yang beriman .
Sebab itu sahabat - sahabat bertanya: Apa tandanya? Maknanya , iman bukan hanya terbuku di dalam hati, tetapi dapat dilihat dengan jelas hatinya terpaut dengan akhirat ; dia tidak terpedaya dengan dunia sebaliknya dia bersedia untuk mati. Jika ini yang berlaku kita akan rasa lapang, tenteram dalam jiwa.

Maksud Ibnu Qaiyim ialah diantara perkara-perkara yang dapat melapangkan hati ialah nur iman yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Anugerah Allah bukan boleh dibuat-buat, justeru itu kita perlu bersungguh-sungguh berusaha agar Allah tingkatkan iman kita kepadanya.
Seterusnya perkara yang boleh menyempitkan dada, menyesakkan jiwa, tidak tenteram, gelisah adalah kerana membelakangkan ajaran Allah SWT.

Sifat kasihnya kepada yang lain daripada Allah membawa kepada lalai daripada mengingati Allah SWT; hatinya terpaut kepada yang lain bukan terpaut kepada Allah ; dia bergantung kepada yang lain tidak kepada Allah SWT.Kasih kepada yang lain selain daripada Allah SWT membawa kepada hatinya terpenjara atau terbelenggu kepada apa yang dikasihinya. Hati yang terpenjara sudah pasti akan berasa sempit dan terbatas, tidak bebas.

Hati yang tidak merdeka sentiasa tidak tenteram . Jiwanya gusar gelisah. Realiti kehidupan manusia kini, meletakkan pangkat dan kedudukan, darjat kebesaran harta dan wang ringgit dihadapan segala-galanya . Apabila gagal memiliki , pelbagai muslihat , tipu daya atau tindas menindas dikenakan hatta kepada rakan karib , teman atau saudara sendiri. Oleh kerana matlamat bukan kerana Allah SWT maka lahirlah satu persatu tindakannya dari hati yang tidak tenteram.





ii) Sentiasa mengingati Allah


Berzikir kepada Allah SWT membawa kepada tenteramnya jiwa lapangnya hati. Berzikir kepada Allah tidak bermaksud sekadar lisan sahaja, tetapi dengan hati , seluruh jiwa raga. Memelihara tindakan mematuhi syara’ setiap ketika dimana sahaja adalah menifestasi hati sentiasa mengingati Allah SWT. Inilah yang akan membawa kepada lapangnya jiwa jauh daripada sesak dada, resah gelisah. Kita akan berasa puas, lapang, tenang apabila seluruh jiwa dan anggota kita berada dalam zikrullah.

Zikrullah mempunyai kesan yang mengkagumkan dalam nikmat kehidupan. Kita rasa tenang apabila kita dapat berada dalam suasana mengingati Allah SWt contohnya kita dapat mengikuti Program Tamrin, majlis-majlis ilmu.. Kita pulang dengan suatu perasaan tenang dan tenteram. Jiwa rasa lapang kerana kita berada dalam suasana sentiasa berzikrullah. Sebaliknya jika lalai mengingati Allah, kita berada dalam ghaflah hati tidak tenteram. Sedikit sahaja kita ghaflah jiwa tidak tenteram, hilang rasa puas.

iii) Sentiasa melakukan ihsan.


Sentiasa melakukan kebaikkan-kebaikkan kepada makhluk. Sentiasa memberi manfaat dan membuat kebajikan. Kita melaksanakan ihsan dengan sekadar mana kemampuan yang Allah kurniakan kepada kita ; sama ada dengan wang ringgit, tenaga, buah fikiran atau apa sahaja kebaikan yang dapat disumbangkan. Orang yang bersifat ihsan sentiasa meng-hulurkan pertolongan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan. Yang memerlukan, dia akan rasa tenang dan puas setip kali berjaya menghulurkan bantuan ; ini adalah kesan perbuatan ihsannya.

Kehidupan orang yang bersifat pemurah, suka menolong berbeza kehidupannya dengan orang yang tiada sifat ihsan, tertanam dalam jiwanya sifat bakhil. Dia sentiasa gelisah, bimbang akan tidak kecukupan tetapi orang yang pemurah dianugerah Allah dengan rasa tenang dan hidupnya sentiasa kecukupan.

Iv) Memiliki sifat berani

Keberanian yang tertegak atas dasar iman bukan keberanian melulu desakan nafsu. Orang yang memiliki sifat berani bersandarkan Allah akan sentiasa tenang dan lapang jiwanya. Sebaliknya yang bersifat pengecut akan merasa sentiasa ketakutan, tidak tenang , gelisah hilang rasa nikmat atau rasa puas dalam jiwanya. Beraninya ikut syara’ takut juga kerana mematuhi syara’ bukan kerana makhluk atau melayan nilai masyarakat.




Sabda Rasulullah:

“ Orang yang gagah berani itu bukan berani berlawan atau bergaduh, tetapi orang yang berani tu ialah orang yang dapat mengawal jiwanya ketika dia marah”

Apabila marah hendaklah dikawal dengan iman. Peristiwa Saidina Ali tidak teruskan niatnya untuk membunuh seorang Yahudi yang meludah mukanya dapat dijadikan contoh bagaimana sifat berani yang disuburkan oleh iman.
Orang yang berani akan merasa lapang jiwanya jika keberaniannya diasaskan atas dasar iman. Sebaliknya sifat penakut enggan bermujahadah dijalan Allah walaupun dia faham tuntutan Allah agar berjihad untuk laksanakan amal Islami. Pelbagai alasan diberi untuk melepaskan diri daripada terus melaksanakan amal-amal Islami: tiada pun uzur syari’ie tetapi sebab-sebab lain yang mengikat dia daripada berjihad di jalan Allah.

Hakikatnya dia memiliki sifat al-jaban (penakut). Dia takut kehilangan sesuatu kebendaan. Duduk berdiam diri disifatkan sebagai al-jaban. Sifat ini akan membawa kepada rasa tidak tenteram, tiada ketenangan , jiwa tidak lapang. Bagi orang yang sedang dalam persiapan untuk berjihad dalam menghayati Islam bukan bersifat al-jaban bahkan dia bersifat dengan sifat as– syaja’ah ( berani).

V) Mengikis sifat mazmumah.

Mengikis sifat-sifat yang tercela seperti dengki, ria’, takabur, ujub. Jika berjaya mengikis sifat-sifat tercela tersebut jiwa akan tenang, terasa lapang. Sebaliknya jika sifat tercela itu menguasai hati, jiwa akan resah gelisah dan tidak tenteram. Jika sifat-sifat ini tidak dibuang dikalangan pekerja-pekerja amal Islami dia akan merasa dialah yang hebat, sahabat lain dipandang lekeh serba kekurangan. Perlu berusaha bersungguh-sungguh mengikis sifat mazmum ini agar kita buat sesuatu kerana Allah semata-mata, barulah jiwa akan terasa lapang.


Vi ) Meninggalkan lebihan-lebihan cakap ,pandang maupun dengar .





Cakap-cakap yang perlu dihindarkan, iaitu mengumpat, cakap-cakap yang lagha, masa habis berlalu begitu sahaja mendengar cakap kosong. Mesti hindari percakapan yang merepek-repek, merapu dan yang tiada manfaat. Kita juga perlu hindari memandang sesuatu yang tidak memberi manfaat dan mendengar sesuatu yang tiada faedah. Kita bercakap atau mendengar atau melihat sesuatu yang tidak memberi faedah akan membawa kepada tidak tenteramnya jiwa. Bahkan cakap, dengar atau lihat yang tidak berfaedah akan menjadikan jiwa kita sakit, iman makin luntur.
Amat penting kita memelihara faktor-faktor yang boleh membawa kita kepada ketena-ngan, kepada lapangnya hati dan tenteramnya jiwa. Perlulah kita menjauhi perkara-perkara yang dapat mengundang kegelisahan, sempit jiwa. Moga-moga kita termasuk dalam golongan al– Abrar golongan orang yang baik-baik, golongan ini berada dalam nikmat di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat kelak. Firman Allah surah al– Infithar : 13 dan 14
“ Sesungguhnya golongan Abrar berada dalam syurga yang penuh kenikmatan, dan golongan Fujur ( derhaka ) benar-benar berada dalam neraka.”
Golongan fujur itu dalam keadaan azab. Menentang Allah SWT bermakna di dunia lagi terasa azabnya apalagi di akhirat kelak... wallahua'lam..


2 comments:

Anonymous said...

Cakap-cakap yang tidak perlu dihindarkan, iaitu mengumpat, cakap-cakap yang lagha, masa habis berlalu begitu sahaja mendengar cakap kosong.


askm...mntk anti tlg cek pnulisan ni.ana rase mcm ade yg x kene..iA

sisfaeez said...

wslm..
ana rse pn cmtu jgk..
nway,thx 4 rminding..