KEPENTINGAN JIHAD
Surah Al Ankabut : 69
"Dan orang-orang yang berjihad ( untuk mencari keredhaan Kami) benar-benar Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama-sama dengan para mukhsinin."
Kita perlu berada di atas jalan dakwah dengan istiqamah,intizam, iltizam dan istimroriyah agar terus-menerus dilimpahi hidayah Allah. Kerana Hidayah Allah tidak boleh diwarisi namun setiap hamba Allah amat mendambakannya, justeru itu setiap orang perlu berusaha bagi memastikan supaya sentiasa berada di atas jalan dakwah agar hidayah Allah tidak dicabut dari hati kita.
Sebagai contoh bukti hidayah ini memberi implikasi besar ; Rasulallah saw sendiri berdoa kepada Allah agar diberi hidayah kepada salah seorang di antara dua Omar.
Jangan pula kita termasuk dalam golongan yang sesat setelah diberi petunjuk seperti Firman Allah swt Surah Al A’raf : 175
Tafsir Ibn Kathir Jilid 4 m.s 204-209 ada mengisahkan kisah Bal’am bin Ba’ura.
Diriwayatkan Qatadah menyatakan Bal’am bin Ba’ura dari Al- Balqla’ (sebuah wilayah di Jordan).Dia pernah tinggal di Baitul Muqaddis disamping orang-orang ganas lagi zalim. Malik bin Dinar berkata “ Dia adalah ulama ( ilmuan) keturunan Bani Israel yang doanya sentiasa dimakbulkan Allah swt. Mereka sering minta Bal’am mendoakan untuk mereka setiap kali menghadapi kesulitan.
Ali bin Talhah meriwayatkan bahawa Ibn Abbas berkata ,”Apabila Nabi Musa ra beserta tenteranya ke bandar di mana Bal’am tinggal , sepupu Bal’am serta orang-orangnya datang menemui Bal’am dan berkata , “ Musa adalah seorang yang gagah perkasa dan dia disertai tentera-tentera yang ramai. Jika Musa menguasai kita pastilah kita akan musnah.Berdoalah kepada Allah agar Allah menghalang Musa daripada menguasai kita.”
Bal’am menjawab,” Jika aku berdoa kepada Allah sebagaimana yang kamu minta, aku akan berada dalam kerugian di dunia dan juga di akhirat. Mereka terus mendesak. Akhirnya Bal’am menurut kehendak penzalim-penzalim tersebut. Akhirnya Allah mencabut anugerah Allah (berupa ilmu petunjuk)daripadanya. Maka Allah berfirman:
“ Dan bacakanlah Muhammad kepada mereka, berita orang-orang yang telah Kami berikan ayat-ayat Kami kepadanya, kemudian dia melepaskan diri dari ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda) , maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat.”
Orang-orang yang tinggi ilmunya juga boleh berlaku fenomina meninggalkan jemaah seperti apa yang berlaku kepada Bal’am.
Untuk memastikan kita tetap berada di atas jalan dakwah dan tarbiyyah ini memerlukan jihad yang sungguh-sungguh. Perlu kepada kerja keras jihad menentang nafsu.
4 medan jihad menentang hawa nafsu :
1. Jihad menentang hawa nafsu agar tunduk mencari petunjuk dan agama yang benar.
2. Jihad menentang hawa nafsu agar tunduk untuk beramal
3. Jihad menentang hawa nafsu agar tunduk menyebarkan dakwah
4. Jihad menundukkan nafsu agar dapat bersabar menanggung kesusahan melaksanakan dakwah untuk Allah dan segala rintangan musuh.
Empat jenis jihad
1. Jihad mencari petunjuk dan agama yang benar
Ini adalah titik tolak tindakan jihad. Jika tidak bertolak dari titik permulaan ini akan mendedahkan diri kepada kesesatan.
Allah swt sebagai pencipta telah sediakan jalan atau manhajnya dibentang dalam kitabsucinya , dijelaskan oleh sunnah (perjalanan dan amalan) Rasulnya dan para sahabat.
Perlu ikuti manhaj Allah swt. kerana manhaj inilah satu-satunya jalan yang selamat dan sihat ; jauh daripada pelbagai masalah dan penyakit.
Mereka yang berjihad menurut khayalan atau aqal fikiran , walau bagaimana baik sekali pun niat mereka , mereka tetap tergolong dam golongan yang sesat dari jalan Allah yang lurus.
Allah swt tidak menerima ibadah sesiapa jua yang tidak menurut syariatnya.
Saripati ilmu ialah yang mengajar ketaatan kepada Allah, yang membuahkan maarifatullah, yang mematuhi perintah dan larangan Allah. Seterusnya membawa kepada makin kenal Allah dan dekat dengan Allah swt.
2. Berjihad di bidang amal dan bertanggungjawab dengan apa yang dipelajari
Hanya mengenal jalan tidak membawa apa-apa faedah kepada sesiapa pun jika tidak melaluinya. Malahan akan membawa bencana kepada yang empunya diri kerana dengan ilmu itu akan menjadi hujah ke atas dirinya disisi Allah swt kelak.
Kata ulama’ “ Seandainya ilmu itu ada kemuliaannya tanpa taqwa nescaya jadilah iblis itu semulia-mulia makhluk .”
Kata Ibn Tamiyyah riwayat Abdul Rahman As Salami :
Bahawa Othman ibn Affan dan Abdullah Ibn Masood dan para sahabat tidak melangkau bacaan Al Quran sebelum dapat membaca sepuluh ayat, kemudian menghafal, memahami dan melaksanakannya. Para sahabat berkata, “ Kami mempelajari kedua-duanya sekali iaitu ilmu dan amal”
3. Berjihad di bidang dakwah untuk menyebar apa yang telah dipelajari.
Jika tidak laksanakan kerja dakwah dikhuatiri termasuk dalam kalangan mereka yang mrenyembunyikan apa yang telah diturunkan Allah swt. Menyembunyikan petunjuk dan keterangan – keterangan yang nyata.Golongan ini dimurkai Allah .
Surah Ali ‘Imran :187
Dan (Ingatlah), ketika Allah mengambil janji dari orang-orang yang telah diberi kitab (iaitu), “Hendaklah kamu benar-benar menerangkannya (isi kitab itu) kepada manusia, dan janganlah kamu menyembunyikannya,” lalu mereka melemparkan (janji itu) ke belakang punggung mereka dan menjualnya dengan harga murah. Maka itu seburuk-buruk jual beli yang mereka lakukan.
Ini adalah sepenting-penting jihad kerana realiti kini apabila hukum Allah dikesampingkan dan kemungkaran pula bermaharaja lela.
Ketiadaan jihad menyebar kebenaran membuka jalan kepada seteru Allah dan seteru-seteru kebajikan yang terdiri daripada syaitan, manusia dan jin yang sentiasa berusaha mrenyebarkan kebatilan.
4. Berjihad menanggung sabar dan kesulitan berdakwah.
Kerja-kerja dakwah dan tarbiyyah pasti berhadapan dengan halangan dan rintangan daripada orang ramai yang berusaha bagi menjaga kepentingan duniawi mereka. Perlu kesabaran yang tinggi agar tidak terperangkap dalam perasaan kecewa dan kekalahan yang membawa kepada cuai dan lari dari tugas-tugas dakwah dan tarbiyyah.
Al Hajj : 38
Sesungguhnya Allah akan membela orang-orang yang beriman..
Al Hajj : 40
….Allah pasti akan menolong orang yang menolong (agama)Nya. Sungguh Allah Mahakuat Maha perkasa.
No comments:
Post a Comment