Pernah tak dengar pepatah pujangga ini?
" Dia ibarat lilin, membakar diri untuk menerangi orang lain"
Sebelum ini saya sering menyangka, persona yang sebegini adalah peribadi yang mulia dan hatinya tulus suci bersih. Selalu saya bercita-cita menjadi sebahagian dari mereka. Melihat nadi perwira yang sebegitu tulus membuatkan saya teruja.
Namun baru-baru ini saya tersentak. Ada seorang pak cik yang agak berpengalaman duduk bersama-sama saya dan teman-teman. Dia berkongsi dengan kami pengalaman dan memberikan nasihat.
" Janganlah kamu semua menjadi jambatan ke syurga, menghantar orang lain ke syurga, tetapi kamu tertinggal di atas neraka"
Mungkin kata-kata itu nampak pelik. Dia menyambung lagi.
" Jangan jadi macam lilin, membakar diri untuk menerangi orang lain, tetapi diri sendiri terbakar"
Saya tambah berfikir. Akhirnya saya mendapat hikmah kata-katanya. Dan hikmah itu membuatkan hati saya dirundung duka. Duka dengan diri yang lemah dan tidak sempurna, duka dengan hati yang hitam tercela. Duka dengan diri yang tidak dapat menentang nafsu menghawa. Kata-kata pak cik itu mendalam maknanya. Akhirnya makna itu melancar seperti panah yang terlepas dari busur, menuju tepat ke hati saya.
Ada manusia, dia mengajak orang untuk ke syurga, mengenali ALLAH dan mentaati Rasulullah S.A.W. Namun dia terperangkap dengan dosa-dosa yang tersembunyi. Dia mengajak orang meninggalkan maksiat, tetapi diri sendiri melakukan. Dia mengajak orang beramal, tetapi diri sendiri meninggalkan. Ini bukanlah masalah mampu atau tidak mampu, ini masalah dia tahu dia berbuat kesalahan dan tidak keluar dari kesalahannya.
Saya betul-betul terasa. Hati rasa hangat. Sehangat mentari, saya berfikir semula. Saya juga banyak yang tidak selesai. Patutlah kata-kata ibarat terhijab, doa ibarat tergantung dan diri ini menjadi hiba. Tambah menakutkan apabila pak cik itu menambah,
" ALLAH akan singkap dosa kita yang orang tidak tahu dulu. ALLAH akan aibkan kita di akhirat nanti dengan aib yang seaib-aibnya. Kerana kita di dunia tidak malu di hadapan ALLAH melakukan dosa. Dan pada hari itu ALLAH murka, ALLAH membalas dengan balasan yang lebih dasyat"
Saya terkedu. Takutnya. Hati rasa bergetar. Pak cik itu menambah.
" Ketika itu beberapa orang yang masuk syurga yang melihat kamu, mereka akan bertanya, eh, bukankah kau yang mengajak kami ke syurga, mentaati ALLAH dan mengikuti Rasulullah S.A.W.? Kenapa kau melakukan seperti itu?"
Hati saya tambah sebak. sambung pak cik itu lagi.
" Dari kalangan ahli neraka pula akan berkata, ha....itulah dia. Dia mengajak kita kepada kebaikan tetapi rupa-rupanya dia yang melakukan segala maksiat dan bantahan"
Saya takut, saya tergolong dari kalangan orang2 yang begitu. Saya boleh tahan apa sahaja di dunia ini, saya tidak gentar dengan apa sahaja di dunia ini. Tetapi murka ALLAH, saya tidak pernah bermimpi untuk mengingini.
ALLAH, kalau aku ini dihukum sebegitu, aku akan menjadi malu. Memang dosa ini terlalu banyak. Aku telah mengunci bicaraku, aku telah menggari langkahku, dosaku tetap berlari-lari di dalam aliran darahku. ALLAH,aku telah sujud kepadaMu, memohon dan mengharap rahmat dan belas ihsan daripadaMu, aku memang setiasa tewas pada nafsu, namun aku juga sering bangkit dan memperbaiki diri walau aku sering jatuh kembali.
ALLAH aku memang hambaMu yang lemah. Banyak kelamahan dan kesilapan. Amal solehku bukan untuk aku tunjukkan, tetapi hanya untukMu ya ALLAH, untuk menyelamatkanku dari apiMu. Kasihanilah aku...kasihanilah aku....
Aku merayu....
RABB...
Aku duduk sendiri,
Sepi mengoreksi dan memuhasabah diri. wallahualam...
No comments:
Post a Comment