Wednesday, June 18, 2008

Aku tinggalkan CINTA kerana DIA...

Kisah ini datang dari lubuk hati saya sendiri, apa yang saya rasa dan apa yang saya alami sendiri. Saya tidak bermaksud untuk mengeluh apatah lagi mengingkar apa yang telah Allah s.w.t tetapkan kepada saya dan kita semua orang yang beriman denganNya. Kisah ini saya khabarkan agar apa yang saya lalui tidak berlalu begitu saja tanpa saya kongsi dan tanpa saya rekodkan sebagai panduan bagi diri saya sendiri dan juga pada saudara saya sesama Islam untuk bekalan hari mendatang..

Saya sama seperti orang lain, punya keinginan untuk menyayangi dan disayangi. Walau bagaimanapun, tidak mudah bagi saya untuk jatuh hati pada seorang wanita. Saya tidak mencari seorang wanita untuk dijadikan kekasih, tetapi saya mencari seorang teman pendamping hidup saya hingga ke akhir hayat saya. Seorang yang boleh mengingatkan saya kiranya saya terlupa dan yang paling penting wanita yang amat saya percayai untuk mendidik anak-anak saya kelak dan generasi yang akan lahir daripada keluarga kami nanti..

Untuk itu, sejak di bangku sekolah lagi saya telah letakkan beberapa syarat bagi seorang wanita untuk hadir dalam hidup saya dan dialah orangnya. Dalam masa beberapa bulan saya belajar di sebuah pusat pengajian tinggi di Petaling Jaya, banyak perkara yang telah saya pelajari. Yang paling penting buat saya ialah, bagaimana saya mula mengenali wanita-wanita dalam hidup saya kerana saya sejak dari sekolah rendah belum pernah bergaul secara langsung dengan seorang wanita pun dan saya amat peka terhadap larangan pergaulan antara lelaki dan wanita kerana saya bersekolah di sebuah sekolah menengah agama lelaki berasrama penuh.
Lantaran itu, saya tidak pernah punya hati untuk memberi cinta atau menerima cinta walaupun peluang itu hadir beberapa kali.

Saya mula mengenali si dia apabila kami sama-sama terpilih untuk mengendalikan sebuah organisasi penting di tempat kami belajar. Ditakdirkan Allah s.w.t, dia menjadi pembantu saya. Dari situlah perkenalan kami bermula. Dia seperti yang telah saya ceritakan, bertudung labuh dan sentiasa mengambil berat tentang auratnya terutama stokin kaki dan tangannya. Itulah perkara pertama yang membuatkan saya tertarik padanya. Dia amat berhati-hati dalam mengatur bibir bicaranya, bersopan-santun dalam mengatur langkahnya, wajah yang sentiasa berseri dengan iman dan senyuman dan tidak pernah ke mana-mana tanpa berteman. Suaranya amat sukar kedengaran dalam mesyuarat kerana dia hanya bersuara ketika suaranya diperlukan dan tidak sebelum itu.

Saya melihat dia sebagai seorang mukminah solehah yang amat menjaga peribadinya dan maruah dirinya. Saya tidak pernah bercakap-cakap dengannya kecuali dia punya teman disisi dan atas urusan rasmi tanpa dipanjang-panjangkan. Saya seorang yang amat kuat bersembang dan sentiasa punya modal untuk berbual-bual seperti kata teman saya, tetapi dengan dia saya menjadi amat pemalu dan amat menjaga. Bagi saya, itulah wajah sebenar seorang wanita solehah. Dia mampu mengingatkan orang lain dengan hanya menjadi dirinya, tanpa perlu berkata-kata walaupun sepatah.

Pada hari terakhir saya di sana, saya punya tugas terakhir yang perlu saya selesaikan sebelum saya melepaskan posisi saya dan semua itu melibatkan dia. Sebaik sahaja semua kerja yang terbengkalai itu siap, saya mengambil peluang untuk berbual-bual dengan dia. Saya bertanya perihal keluarga dan apa yang dia rasa bertugas di samping saya untuk waktu yang amat sekejap itu.
Alhamdulillah dia memberikan respon yang baik dan dari situlah saya mengenali dengan lebih dalam siapa sebenarnya pembantu saya ini. Namun, apa yang memang boleh saya nampak dengan jelas, dia amat pemalu dan dia amat kekok semasa bercakap dengan saya.

Selepas itu barulah saya tahu, sayalah lelaki pertama yang pernah berbual-bual dengan dia bukan atas urusan rasmi sebegitu. Di situlah saya mula menyimpan perasaan, tapi tidak pernah saya zahirkan sehinggalah saya berada jauh beribu batu daripadanya.


Semasa saya berada di Jordan, saya menghubunginya kembali dan menyatakan hasrat saya secara halus agar dia tidak terkejut. Alhamdulillah, dia menerima dengan baik dan hubungan kami berjalan lancar selama empat bulan sebelum saya balik bercuti ke Malaysia.

Kadang-kadang saya terlalai dalam menjaga hubungan kami dan dialah yang mengingatkan. Dialah yang meminta agar kami menghadkan mesej-mesej kami agar tidak terlalu kerap. Semua itu menguatkan hubungan kami dan bagi saya dialah teman hidup yang sempurna buat saya.

Walau bagaimanapun, sewaktu saya pulang ke Malaysia bulan lepas, ummi dapat menghidu perhubungan kami. Saya tahu ummi tidak berapa suka anak-anaknya bercinta tetapi saya tidak pernah menjangka ummi akan menghalangnya. Tetapi perhitungan saya silap, amat silap. Buat pertama kali, adik perempuan saya memberitahu ummi sudah tahu perihal saya dan ummi tidak suka. Saya tidak pernah menganggapnya sesuatu yang serius sehinggalah ummi bercakap secara peribadi dengan saya pada suatu hari.

Saya masih ingat lagi kata-kata ummi yang buat saya tak mampu membalas walau sepatah. "I haven't found any entry in Islam that permit what you are doing right now. I haven't heard from anyone that love before marriage is permitted. But I know there's no relationship between male and female except for what is very important and official between them. So, may I know what kind of relationship you are having now and I want to hear it from your mouth that it is legal in what you have been learning until now." "Not a single phrase, nor a word." "My sweetheart, if you want to build a family, a faithful o­ne, you can never build it o­n what Allah has stated as wrong and proven false by the way Rasulullah has taught us. A happy and blessed family come from Allah, and you don't even have anything to defend it as blessed if the first step you make is by stepping into what He has prohibited. You can't have a happy family if Allah doesn't help you so, and you must know in every family that stands until their dying day, they have Allah o­n their side. You can't expect Him to help you if you did the wrong step from the very beginning."

Saya tiada kata untuk membalas kerana semuanya benar. Saya tahu kebenaran itu sudah lama dulu, tetapi saya tak mampu untuk melawan kehendak nafsu saya sendiri. Saya akui, saya tertipu dengan apa yang dipanggil cinta tak pernah membawa kita ke mana, andai cinta itu bukan dalam lingkungan yang Allah redha. Tiada cinta yang Allah benarkan kecuali selepas tali perkahwinan mengikatnya. Itulah apa yang telah saya pelajari lama dahulu dan dari semua kitab Fiqh yang saya baca, tiada satu pun yang menghalalkannya. Saya tahu kebenaran ini sudah lama dahulu, tetapi saya tidak kuat untuk menegakkannya. Saya tidak mampu menundukkan kemahuan hati saya. Dan kata-kata ummi memberikan saya kekuatan untuk bangkit dari kesilapan saya selama ini.

Ummi berkata: "It's not me who want you to make a decision like this, but Allah tells you so."

Saya percaya, itulah yang terbaik buat saya dan dia. Dengan kekuatan itulah saya terangkan kepadanya, dan alhamdulillah dia faham. Amat faham. Walaupun air matanya seakan air sungai yang tidak berhenti mengalir, tetapi dia tahu itulah yang terbaik buat kami. Dia meminta maaf kepada ummi kerana menjalinkan hubungan yang tidak sah dengan saya, tetapi ummi memberi syarat, janganlah bimbang. Andai ada jodoh kamu berdua, insyaAllah, Dia akan temukan kamu dalam keadaan yang jauh lebih baik dari sekarang.

Hidup saya sekarang lebih tenang kerana tiada apa yang menggusarkan hati saya lagi. Hidup saya lebih bercakap kembali tentang agama saya dengan lebih bebas tanpa dihantui oleh perasaan berdosa. Bagi saya, dan dia, inilah saat untuk kami muhasabah kembali diri kami dan kami betulkan kembali segala kesilapan yang telah kami buat. Inilah saat untuk kami menjadi seorang ibu dan ayah yang berakhlak mulia dan berperibadi tinggi. Inilah masanya kami insafi kembali keterlanjuran kami dahulu dan memohon moga-moga Allah sudi memaafkan kami.

Sesungguhnya Ya Allah, aku insan yang sangat lemah. Aku tidak mampu melawan godaan syaitan yang tidak pernah jemu, juga hambatan nafsu yang tidak pernah lesu. Ampunilah aku. Walau bagaimanapun, perpisahan ini hanya untuk sementara. Saya telah berjanji dengan diri saya sendiri dialah yang akan menjadi teman hidup saya nanti. Sesungguhnya pencarian saya untuk seorang calon isteri telah berakhir. Insan seperti dia hanya satu dalam seribu. Mana mungkin saya melepaskan apa yang amat berharga yang pernah hadir dalam hidup saya. InsyaAllah, sekiranya Allah s.w.t panjangkan umur, sebaik sahaja saya tamatkan pengajian saya di sini, saya akan kembali ke Malaysia dan melamarnya untuk menjadi permasuri di hati saya. InsyaAllah, saya akan setia menunggu saat itu dan saya berusaha sedaya-upaya saya untuk mengekalkan kesetiaaan saya.

"Sekiranya kita telah bertemu dengan seorang insan yang amat mulia sebagai teman hidup kita, janganlah lepaskannya kerana kita tidak tahu bilakah pula kita akan bertemu deangan insan yang seumpamanya." Siapakah lagi dalam dunia ini yang menjaga adab berjalan antara lelaki dan perempuan sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi Musa a.s dan puteri Nabi Syuaib a.s beribu-ribu tahun dahulu?


-dr seorang sahabat-

Mafraq, Jordan.

Monday, June 16, 2008

Bagaimana hati ibu ayah kita..??

Assalamualaikum
Tuan Puan Budiman

Seorang ibu tua yang saya temui di Terminal Bas selatan Tanahair,
sewaktu menunggu bas Eagle jam 8.30 mlm ke Kuala Lumpur, berbual sambil
bercerita. Perbualan yang menyuntik keinsafan, berkisar tentang hati
seorang ibu...


"Dah tua-tua begini, kerjanya, susah hati saja nak", katanya pendek.
"Makcik susah hati mengenangkan anak-anak makcik. Anak bongsu makcik
jarang sangat kirim berita. Dia dah lama di London. Makcik risau sangat
tentang dia. Dah berkali-kali makcik suruh dia balik, kerja je dekat
sini, senang. Tak juga dia dengar. Abangnya ada, tapi tak ambil kisah
sangat. Dia kerja besar, orang besar Universiti. Sibuk sangat dengan
kerja dan keluarga dia... Hidup makcik taklah susah, tapi hmm entahlah,
makcik pun tak tahu nak cakap macamana. Entah esok, entah lusa, makcik
tak de". Ibu tua itu terdiam lama...


Pasti ibu tua itu tidak keseorangan terperosok dalam alunan perasaan
sedemikian. Tidak sedikit ibu ayah yang sugul, susah hati, kecil hati,
terkilan akibat seribu satu macam perkara dan peristiwa yang berkait
dengan hal anak-anak. Anak-anak yang dulunya dididik dengan penuh
tanggungjawab, kini sudah dewasa. Mereka sudah pun bekerja, ada yang
sudah berkeluarga, punya isteri, suami dan anak-anak. Mereka sudah
miliki kehidupan sendiri. Namun, mungkin dek kerana sibuk dengan
kerjaya, keluarga dan tuntutan kehidupan kini, ada adab-adab terhadap
ibubapa yang kita abaikan, ada cacat cela yang tumbuh dalam hubungan
kita dengan ibu dan ayah. Akibat kealpaan itu, hati dan perasaan halus
ibu dan ayah mungkin terguris. Tinggallah ibu ayah seakan terbiar sepi
dan terlonta-lonta membendung perit perasaan yang sukar orang lain nak
faham.

Rupanya, cabaran ketaatan dan berbuat baik terhadap ibubapa datang lebih
hebat sewaktu mereka dah tua dan kita dah dewasa dan berkeluarga.
Kadang-kadang kita terlepas pandang, tak perasan, tak kisah atau rasa
semua dah ok. Makan minum ada, pakaian semua cukup, tempat tinggal
bagus...kira ok dah...Tetapi jauh di sudut jiwanya, mungkin ada
kekosongan yang tidak terisi dgn perkara makan dan minum, mungkin ada
nilai kasih sayang dan hormat yang kita abaikan pada mereka...


Bagaimana Sikap Kita?

Ada baik kiranya kita duduk sejenak memikirkan di mana kita dalam soal
ini. Kita suluh kembali perlakuan dan sikap kita terhadap ibu dan ayah..
Hal ini amat penting kerana :



1. Ia ada hubungkait dengan kebahagiaan dunia dan akhirat kita.
Redha Ibubapa pintu keredhaan Allah dan Syurga yang penuh kenikmatan itu
letaknya di bawah tapak kaki ibu.
2. Kita akan tua juga. Masa berlari pantas, kita akan mengambil
usia tua ibu ayah dan rentak perasaan orang-orang tua.. Anak-anak akan
ambil tempat kita. Kita akan lebih faham perasaan ibu ayah bila kita
berada d tempat mereka.
3. Bagaimana kita melayan ibu ayah kita, anak-anak kita tengok
saja. Tak payah diajar, mereka akan copy semuanya dan install dalam
memori mereka. Waktu kita dah tua nanti, mereka repeat saja.


Sementara ibu dan ayah masih ada, kita masih belum terlewat, kesempatan
ini jangan dipersiakan. Bagi ibu ayah yang dah meninggal dunia, ada
tuntutan dan tanggungjawab yang perlu kita buat...Tegasnya, selagi ada
nyawa, ada kesempatan, ada kesedaran dan ada kemahuan, inshaAllah, kita
boleh usahakan sesuatu...


Wasalam
Hub Islami

P/S:
Renungilah bingkisan penting ini dengan lebih jelas melalui Buku Wahai
Ibu! Wahai Ayah!, Ia menceritakan segalanya tentang ibubapa dan kita,
menurut kacamata Islam.

Sila Klik Link Di bawah untuk Naskah Wahai Ibu! Wahai Ayah!
http://www.hubislami.info/promosi-buku-2.html

Saturday, June 7, 2008

iktibar utk diri yg hina...

Pernah tak dengar pepatah pujangga ini?

" Dia ibarat lilin, membakar diri untuk menerangi orang lain"

Sebelum ini saya sering menyangka, persona yang sebegini adalah peribadi yang mulia dan hatinya tulus suci bersih. Selalu saya bercita-cita menjadi sebahagian dari mereka. Melihat nadi perwira yang sebegitu tulus membuatkan saya teruja.

Namun baru-baru ini saya tersentak. Ada seorang pak cik yang agak berpengalaman duduk bersama-sama saya dan teman-teman. Dia berkongsi dengan kami pengalaman dan memberikan nasihat.

" Janganlah kamu semua menjadi jambatan ke syurga, menghantar orang lain ke syurga, tetapi kamu tertinggal di atas neraka"


Mungkin kata-kata itu nampak pelik. Dia menyambung lagi.

" Jangan jadi macam lilin, membakar diri untuk menerangi orang lain, tetapi diri sendiri terbakar"


Saya tambah berfikir. Akhirnya saya mendapat hikmah kata-katanya. Dan hikmah itu membuatkan hati saya dirundung duka. Duka dengan diri yang lemah dan tidak sempurna, duka dengan hati yang hitam tercela. Duka dengan diri yang tidak dapat menentang nafsu menghawa. Kata-kata pak cik itu mendalam maknanya. Akhirnya makna itu melancar seperti panah yang terlepas dari busur, menuju tepat ke hati saya.

Ada manusia, dia mengajak orang untuk ke syurga, mengenali ALLAH dan mentaati Rasulullah S.A.W. Namun dia terperangkap dengan dosa-dosa yang tersembunyi. Dia mengajak orang meninggalkan maksiat, tetapi diri sendiri melakukan. Dia mengajak orang beramal, tetapi diri sendiri meninggalkan. Ini bukanlah masalah mampu atau tidak mampu, ini masalah dia tahu dia berbuat kesalahan dan tidak keluar dari kesalahannya.

Saya betul-betul terasa. Hati rasa hangat. Sehangat mentari, saya berfikir semula. Saya juga banyak yang tidak selesai. Patutlah kata-kata ibarat terhijab, doa ibarat tergantung dan diri ini menjadi hiba. Tambah menakutkan apabila pak cik itu menambah,

" ALLAH akan singkap dosa kita yang orang tidak tahu dulu. ALLAH akan aibkan kita di akhirat nanti dengan aib yang seaib-aibnya. Kerana kita di dunia tidak malu di hadapan ALLAH melakukan dosa. Dan pada hari itu ALLAH murka, ALLAH membalas dengan balasan yang lebih dasyat"


Saya terkedu. Takutnya. Hati rasa bergetar. Pak cik itu menambah.

" Ketika itu beberapa orang yang masuk syurga yang melihat kamu, mereka akan bertanya, eh, bukankah kau yang mengajak kami ke syurga, mentaati ALLAH dan mengikuti Rasulullah S.A.W.? Kenapa kau melakukan seperti itu?"


Hati saya tambah sebak. sambung pak cik itu lagi.

" Dari kalangan ahli neraka pula akan berkata, ha....itulah dia. Dia mengajak kita kepada kebaikan tetapi rupa-rupanya dia yang melakukan segala maksiat dan bantahan"

Saya takut, saya tergolong dari kalangan orang2 yang begitu. Saya boleh tahan apa sahaja di dunia ini, saya tidak gentar dengan apa sahaja di dunia ini. Tetapi murka ALLAH, saya tidak pernah bermimpi untuk mengingini.

ALLAH, kalau aku ini dihukum sebegitu, aku akan menjadi malu. Memang dosa ini terlalu banyak. Aku telah mengunci bicaraku, aku telah menggari langkahku, dosaku tetap berlari-lari di dalam aliran darahku. ALLAH,aku telah sujud kepadaMu, memohon dan mengharap rahmat dan belas ihsan daripadaMu, aku memang setiasa tewas pada nafsu, namun aku juga sering bangkit dan memperbaiki diri walau aku sering jatuh kembali.
ALLAH aku memang hambaMu yang lemah. Banyak kelamahan dan kesilapan. Amal solehku bukan untuk aku tunjukkan, tetapi hanya untukMu ya ALLAH, untuk menyelamatkanku dari apiMu. Kasihanilah aku...kasihanilah aku....
Aku merayu....
RABB...
Aku duduk sendiri,
Sepi mengoreksi dan memuhasabah diri. wallahualam...